SELANGOR, Suara Muhammadiyah – Lestari Hikmah telah mengadakan Majlis Peluncuran Buku Inteligensia Penyuluruh Nusantara pada Ahad 1 Maret di Rumah Seni Selangor dengan kehadiran teman dan rakan pencinta ilmu dari seluruh negeri, organisasi dan universiti seperti Nahdlatul Ulama, Gusdurian dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Acara dimulai dengan ucapan pembukaan Presiden Lestari Hikmah Mohd Rashidi yang menyentuh perihal orientalisme, oksidentalisme dan keperluan mengangkat tokoh nusantara lebih tinggi lagi.
Mohd Rashidi mengungkapkan ‘tokoh di Nusantara tidak kurang hebatnya dengan ada Prof Syed Hussein Alatas yang menulis Mitos Peribumi Malas, Sosial Profetik gagasan Prof Kuntowijoyo, Islam Transformatif oleh Dr Moeslim Abdurahman. Tidak lupa juga dengan Gus Dur dan Nahdlatul Ulama yang membawa sufisme murni yang menghidupkan dan prihatin kepada masyarakat lain.
Dr Azhar Ibrahim dari National University of Singapore dalam ucapannya menegaskan kembali tanggungjawab menjadi agen pencerah kepada masyarakat. Beliau memetik kembali seperti apa yang disebut oleh Prof Alatas iaitu seorang intelektual itu mestilah mengenal pasti masalah, menakrif masalah, menganalisis dengan jelas dan seterusnya mengusulkan jalan keluar.
Acara bersambung lagi dengan bicara oleh Ustaz Piet Hizbullah Khaidir dari Lamongan Jawa Timur. Beliau yang juga da’i Muhammadiyah memulakan bicara dengan menyebut 3 rujukan yang baik perihal intelektualisme dan pemberdayaan. Buku itu adalah Genealogi Inteligensia (Yudi Latif), Cendekiawan Dan Kekuasaan Dalam Negara Orde Baru (Daniel Dhakidae) dan Oposisi Berserak oleh Anders Uhlin. Di samping itu beliau juga menyebutkan peranan Muhammadiyah dan Nahdlatul Ulama dalam menggerakkan wacana ilmu di Indonesia.
Majlis juga diserikan lagi dengan ucapan oleh Prof Dr Jomo KS. Bagi beliau ‘kita terlalu kagum apa yang datang dari luar oleh kerana jahil terhadap kekayaan warisan dan khazanah ilmu yang ada pada kita (nusantara).’ Disamping menyebut perihal penjajahan dan imperialisme, beliau juga menyentuh hubungan Malaysia-Indonesia yang sudah terjalin lama melalui Dr Burhanuddin al-Helmy yang mendapat didikan dari Sarekat Islam dibawah pimpinan HOS Tjokroaminoto. Tambah beliau lagi, Nusantara mendahului banyak tamadun yang lain dengan adanya Undang-Undang Laut Melaka dan hal ini diakui sendiri oleh Alfondo de Albuquerque.
Acara ini dihadiri oleh para teman dan rakan dari pelbagai negeri, dari universiti tempatan dan rakan dari Indonesia seperti Nahdlatul Ulama dan Gusdurian.(Riz)